Laporan yang berterusan terhadap
penyalahgunaan steroid anabolik yang digunakan oleh ramai atlet
profesional yang dipandang sebagai ‘role model’ memberikan gambaran yang
tidak baik untuk komuniti kita. ‘Lebih besar lebih cantik’ menyebabkan ramai
yang ingin mencuba steroid anabolik untuk mendapatkan kesan yang diinginkan
untuk membina otot.
Penyalahgunaan steroid anabolik berbeza
daripada penyalahgunaan dadah terlarang lain. Ini adalah kerana penggunaannya
bukan didorong oleh perasaan euforia yang dirasai sejurus selepas menggunakan
heroin, kokain atau marijuana, tetapi didorong atas rasa ingin meningkatkan
prestasi dan penampilan diri.
Penggunaan steroid anabolik yang dapat
meningkatkan tahap keyakinan diri dan kekuatan menyebabkan pesalahguna steroid
anabolik mengabaikan kesan bahaya disebabkan oleh bahan ini. Penyalahgunaan
steroid anabolik boleh menyebabkan kesan serius yang berpanjangan, dan dalam
kes-kes tertentu, kesannya adalah kekal.
Steroid anabolik boleh membawa kepada
serangan jantung awal, strok, tumor hati, kegagalan fungsi buah pinggang dan
masalah psikiatri yang serius. Selain itu, oleh kerana steroid anabolik ini
sering digunakan melalui suntikan, pengguna yang berkongsi jarum suntikan
adalah berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan virus seperti HIV/AIDS,
hepatitis B dan hepatitis C.
APAKAH
STEROID ANABOLIK?
Steroid anabolik adalah sejenis bahan
sintetik dimana struktur dan fungsinya hampir sama dengan hormon seks lelaki
seperti testosterone. Ia menggalakkan pertumbuhan otot (anabolic effect) dan
peningkatan ciri-ciri seksual lelaki (androgenic effect) untuk lelaki mahupun
wanita.
Steroid anabolik dihasilkan pada
akhir 1930-an. Pada asalnya, ia bertujuan untuk merawat hypogonadism, iaitu
sejenis penyakit di mana testis tidak dapat menghasilkan hormon testosteron
yang mencukupi untuk pertumbuhan dan fungsi seksual normal lelaki. Bahan ini
juga digunakan di dalam perubatan khasnya untuk merawat kelewatan akhil baligh,
masalah kelamin untuk kaum lelaki dan penyusutan otot disebabkan oleh jangkitan
HIV dan penyakit-penyakit lain.
Pada tahun yang sama, para saintis
mendapati bahawa steroid anabolik juga memberi kesan lain iaitu peningkatan
pertumbuhan otot terhadap haiwan ujian di makmal, di mana bermulanya
penyalahgunaan steroid anabolik ini oleh atlit bina badan dan seterusnya oleh
atlit-atlit dalam bidang sukan lain.
KESAN PENYALAHGUNAAN STEROID
TERHADAP KESIHATAN
Penyalahgunaan steroid dikaitkan dengan
pelbagai kesan sampingan daripada fizikal kurang menarik seperti masalah
jerawat hinggalah kepada masalah lain yang dapat membawa maut seperti serangan
jantung dan kanser hati. Kebanyakan kesan ini adalah sementara jika
pengambilannya dihentikan, tetapi sesetengahnya adalah kekal seperti suara
menjadi garau, khasnya untuk wanita.
Kesan-kesan penyalahgunaan steroid anabolik
dapat diklasifikasikan seperti:
1. Sistem hormon
Penyalahgunaan steroid akan mengganggu
pertumbuhan normal hormon badan menyebabkan kesan sementara atau kekal.
Perubahan sementara adalah seperti pengurangan penghasilan sperma dan
pengecutan testis (testicular atrophy) manakala perubahan kekal termasuklah
botak dan pertumbuhan payudara bagi lelaki (gynecomastia). Satu kajian
menunjukkan lebih dari separuh daripada ahli bina badan mengalami masalah ini.
Dalam konteks wanita, steroid anabolik
meningkatkan ciri-ciri maskulin seperti pengecilan payudara dan penurunan
jumlah lemak dalam badan, kulit menjadi kasar, pembesaran klitoris dan suara
yang garau. Wanita yang mengamalkan pengambilan steroid anabolik secara
berlebihan ini juga akan mengalami pertumbuhan bulu badan secara tidak terkawal
dan berlebihan tetapi dalam masa yang sama, mereka juga mengalami keguguran
rambut. Walaupun sesetengah kesan adalah sementara, penggunaan secara
berterusan dalam jangka masa yang panjang akan menyebabkan kesannya kekal.
Ketidaksuburan juga dikaitkan dengan
penggunaan steroid anabolik kepada kaum lelaki dan wanita.
2. Sistem muskuloskeletal
Secara normalnya, peningkatan jumlah hormon
testosteron dan seks hormon yang lain akan mencetuskan pertumbuhan tulang yang
maksimum semasa akhil baligh dan remaja, diikuti dengan isyarat supaya
pembesaran berhenti. Jika steroid anabolik ini disalahgunakan oleh kanak-kanak
atau remaja yang sedang membesar, peningkatan seks hormon (walaupun ia adalah
artificial) secara mendadak akan memberi isyarat kepada otak supaya pembesaran
dihentikan. Ini bermakna, pertumbuhan tulang seseorang remaja itu menjadi
terbantut sebelum tiba masanya.
3. Sistem kardiovaskular
Penyalahgunaan steroid seringkali
dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok,
walaupun sesetengahnya berusia kurang dari 30 tahun. Steroid berperanan dalam
mengubah tahap lipoprotein yang membawa kolesterol dalam darah. Ia meningkatkan
LDL (kolesterol jahat) dan mengurangkan HDL (kolesterol baik). LDL yang tinggi
dan HDL yang rendah meningkatkan risiko untuk seseorang mendapat
arterosklerosis, satu keadaan di mana lemak terkumpul di dalam salur darah dan
mengganggu perjalanan darah. Jika perjalanan darah ke jantung terhalang, ia
akan menyebabkan serangan jantung, dan, jika perjalanan darah ke otak
terhalang, serangan otak iaitu strok akan terjadi. Hal ini juga boleh
menyebabkan penyakit darah tinggi kepada
pengguna.
Selain itu, steroid juga meningkatkan
risiko pembekuan darah di dalam salur darah. Pembekuan darah akan menyebabkan
perjalanan darah terganggu dan merosakkan otot jantung. Akibatnya, jantung
tidak dapat mengepam darah secara berkesan.
4. Hati
Penyalahgunaan steroid dikaitkan dengan
kanser hati dan dalam isu terpencil, peliosis hepatitis, di mana cyst yang dipenuhi
darah terbentuk di dalam hati. Kedua-dua
kanser dan cyst ini apabila pecah, akan
menyebabkan pendarahan dalaman.
5. Kulit
Penggunaan steroid yang berlebihan
menyebabkan pelbagai masalah kulit seperti jerawat, cyst, dan kulit dan rambut
berminyak.
6. Jangkitan
Pesalahguna steroid kebiasaannya
menggunakan teknik suntikan yang tidak steril atau bertukar-tukar jarum
suntikan yang telah dicemari bakteria dan virus. Selain itu, sesetengah steroid
untuk pasaran haram adalah disediakan dalam keadaan tidak steril. Faktor inilah
yang meletakkan pesalahguna steroid berada dalam risiko tinggi untuk menghidap
jangkitan virus seperti HIV, hepatitis B dan hepatitis C. Pesalahguna juga
mudah untuk mendapat endokarditis, iaitu jangkitan bakteria pada jantung yang
boleh membawa maut. Jangkitan bakteria juga boleh menyebabkan kesakitan dan
nanah di kawasan suntikan.
Sumber petikan daripada : http://psipum.org/kesan-penyalahgunaan-steroid-anabolik-terhadap-sistem-tubuh-badan/

No comments:
Post a Comment